• Post author:
  • Post category:Umum

Sesekali pantai menjadi pilihan untuk tadabbur alam di waktu malam. Deruan ombak kecil menghempas pantai menjadikan suasana sunyi dan tenang. Bot-bot nelayan tersadai di tepi pantai sebagai alat untuk mencari rezeki. Masih ada beberapa orang pemuda yang berbual di kedai makan. Entah apa yang dibincangkan. Barangkali bercerita tentang rezeki yang dibawa pulang hari ini dan nasib yang bakal menimpa esok hari..

Gelap semakin kelam. Hari semakin lewat malam. Yang tinggal hanya dua orang lelaki yang tetap bersabar menunggu ikan mengena kailnya. Kira-kira sudah dua jam lebih mereka tunggu. Bukan kata ikan mengena mata kail, batang kail pun tak bergoyang. Entah berapa dozen cekalnya hati mereka menanti rezeki dari Tuhan.

Kadang-kala hidup kita sudah cukup terlalu indah. Bukan sahaja patut ucap syukur di lidah, tapi sudah wajib untuk sujud menyembah. Namun bila datang susah, kita sudah mengeluh mengalah, ibarat kita orang yang paling susah. Walhal Allah telah pun berikan apa yang kita perlu. Cuma kita ini tamak, tetap merungut tetang apa yang kita mahu..

Kita bekerja sehingga lewat malam mencari rezeki, untuk sara diri, anak dan isteri. Itupun di pejabat yang sejuk dengan pendingin hawa atau di rumah yang dilengkapi pembancuh air secawan kopi buat ubat tahan mengantuk. Kita cuma pertaruhkan masa untuk dikorbankan, sedang nelayan keluar awal pagi, pulang lewat senja itu mempertaruhkan masa dan nyawa di tengah lautan. Kalaupun ada rezeki belum tentu selamat dibawa pulang. Itu semua atas kehendak Tuhan.

Kerana itu sifat Qana’ah menjadikan kita puas & redha dengan apa yang telah kita ada. Kata Hamka, bukan salah untuk berharap apa yang kita belum ada, tapi jangan lupa apa yang kita telah ada. Hakikatnya yang ada ini sudahpun menjadi harapan kita

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقكم ، فهو أجدر أن لا تزدروا نعمة الله عليكم

Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Bersabarlah, selagi nafas mampu terhela, siapa tahu esok pagi kalau Allah panjangkan usia kita, ada rezeki yang sedang menanti di kaki senja…

 

Artikel ini ditulis oleh Syafiyullah Yahya