Misi Bantuan Ramadhan Yaman
Kita takkan pernah tahu bagaimana rasanya dihimpit kehidupan kiri dan kanan, atas dan bawah kalau kita sendiri tak pernah melaluinya. Hanya khabar berita dari tanah seberang sana sahaja dapat memberikan kita sedikit rasa untuk dikongsi bersama walaupun tak serupa.
Inilah faktanya. Lebih daripada 14 juta penduduk Yaman terpaksa bertarung dengan keperitan menjalani kehidupan yang menyesakkan. Peperangan yang berlaku di beberapa kawasan terutama di Sana’a Yaman telah mengakibatkan ribuan yang terkorban. Anak kecil yang tak memahami apa yang sedang berlaku terpaksa menjalani kehidupan tanpa keselesaan. Nyawa terpaksa menjadi tebusan sebuah kedamaian sehingga yang patah tidak bertumbuh, yang hilang tidak berganti.
Kesan ketara daripada peperangan tersebut, yang terselamat terpaksa hidup dalam kebuluran. Bekalan makanan terjejas, hidup jadi tidak bebas. Kalau adapun makanan, harganya hanya mampu diperhati, sudah tidak berkemampuan untuk dimiliki. Sehingga akhirnya kemiskinan melampau mulai melanda penduduk di kawasan tersebut. Daun dari pepohonan menjadi alas perut, roti pula dibakar oleh api yang terhasil dari sampah-sarap menjadikan ia tidak lagi selamat untuk dimakan. Cuba tengok video ini tentang apa yang berlaku disana :
Menangisi keadaan ini, Al-Qudwah bersama beberapa entiti prihatin lain seperti NADI, Al-Itisam, ARR dan PADU menggembleng tenaga bersama untuk mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi menggerakkan Misi Bantuan Ramadhan Yaman. Duit yang disumbangkan akan dimanfaatkan untuk pek makanan satu bulan, bekalan air bersih, bantuan makan terus kepada mangsa seperti roti dan juga bantuan untuk pendidikan kepada sekolah dan guru. Hasil kutipan sumbangan juga akan dimanfaatkan untuk menanggung kos perjalanan sukarelawan dan juga kos pengurusan misi ke sana pada bulan Mei nanti.
Sumbangan boleh disalurkan secara online menggunakan borang sumbangan dibawah. Mudah-mudahan, sumbangan yang diberikan dapat meringankan sedikit sebanyak kesukaran saudara Islam kita dalam mengharungi kesukaran di sana. InshaAllah.
Jazaakumullahukhairan!